Kisah Teladan Nabi Muhammad SAW
Pustaka.com,Pada waktu umat manusia dalam kegelapan dan suasana
jahiliyyah, lahirlah seorang bayi pada 12 Rabiul Awal tahun Gajah di Makkah.
Bayi yang dilahirkan bakal membawa perubahan besar bagi sejarah peradaban
manusia. Bapa bayi tersebut bernama Abdullah bin Abdul Mutallib yang telah
wafat sebelum baginda dilahirkan iaitu sewaktu baginda 7 bulan dalam kandungan
ibu. Ibunya bernama Aminah binti Wahab. Kehadiran bayi itu disambut dengan
penuh kasih sayang dan dibawa ke ka'abah, kemudian diberikan nama Muhammad,
nama yang belum pernah wujud sebelumnya.
Selepas
itu Muhammad disusukan selama beberapa hari oleh Thuwaiba, budak suruhan Abu
Lahab sementara menunggu kedatangan wanita dari Banu Sa'ad. Adat menyusukan
bayi sudah menjadi kebiasaan bagi bangsawan-bangsawan Arab di Makkah. Akhir
tiba juga wanita dari Banu Sa'ad yang bernama Halimah bin Abi-Dhuaib yang pada
mulanya tidak mahu menerima baginda kerana Muhammad seorang anak yatim. Namun
begitu, Halimah membawa pulang juga Muhammad ke pedalaman dengan harapan Tuhan
akan memberkati keluarganya. Sejak diambilnya Muhammad sebagai anak susuan,
kambing ternakan dan susu kambing-kambing tersebut semakin bertambah. Baginda
telah tinggal selama 2 tahun di Sahara dan sesudah itu Halimah membawa baginda
kembali kepada Aminah dan membawa pulang semula ke pedalaman.
Kisah Dua Malaikat dan Pembedahan Dada Muhammad
Pada
usia dua tahun, baginda didatangi oleh dua orang malaikat yang muncul sebagai
lelaki yang berpakaian putih. Mereka bertanggungjawab untuk membedah Muhammad.
Pada ketika itu, Halimah dan suaminya tidak menyedari akan kejadian tersebut.
Hanya anak mereka yang sebaya menyaksikan kedatangan kedua malaikat tersebut
lalu mengkhabarkan kepada Halimah. Halimah lantas memeriksa keadaan Muhammad,
namun tiada kesan yang aneh ditemui.
Muhammad
tinggal di pedalaman bersama keluarga Halimah selama lima tahun. Selama itu
baginda mendapat kasih sayang, kebebasan jiwa dan penjagaan yang baik daripada
Halimah dan keluarganya. Selepas itu baginda dibawa pulang kepada datuknya
Abdul Mutallib di Makkah.
Datuk
baginda, Abdul Mutallib amat menyayangi baginda. Ketika Aminah membawa anaknya
itu ke Madinah untuk bertemu dengan saudara-maranya, mereka ditemani oleh Umm
Aiman, budak suruhan perempuan yang ditinggalkan oleh bapa baginda. Baginda
ditunjukkan tempat wafatnya Abdullah serta tempat dia dikuburkan.
Sesudah
sebulan mereka berada di Madinah, Aminah pun bersiap sedia untuk pulang semula
ke Makkah. Dia dan rombongannya kembali ke Makkah menaiki dua ekor unta yang
memang dibawa dari Makkah semasa mereka datang dahulu. Namun begitu, ketika
mereka sampai di Abwa, ibunya pula jatuh sakit dan akhirnya meninggal dunia
lalu dikuburkan di situ juga.
`Muhammad
dibawa pulang ke Makkah oleh Umm Aiman dengan perasaan yang sangat sedih. Maka
jadilah Muhammad sebagai seorang anak yatim piatu. Tinggallah baginda dengan
datuk yang dicintainya dan bapa-bapa saudaranya.
"Bukankah Dia
mendapatimu sebagai seorang yatim, lalu Dia melindungimu. Dan Dia mendapatimu
sebagai seorang yang bingung lalu Dia memberikan petunjuk" (Surah
Ad-Dhuha, 93: 6-7)
Abdul Mutallib Wafat
Kegembiraannya bersama datuk
baginda tidak bertahan lama. Ketika baginda berusia lapan tahun, datuk baginda
pula meninggal dunia. Kematian Abdul Mutallib menjadi satu kehilangan besar
buat Bani Hashim. Dia mempunyai keteguhan hati, berwibawa, pandangan yang
bernas, terhormat dan berpengaruh dikalangan orang Arab. Dia selalu menyediakan
makanan dan minuman kepada para tetamu yang berziarah dan membantu penduduk Makkah
yang dalam kesusahan.
Muhammad diasuh oleh Abu
Talib
Selepas kewafatan datuk
baginda, Abu Talib mengambil alih tugas bapanya untuk menjaga anak saudaranya
Muhammad. Walaupun Abu Talib kurang mampu berbanding saudaranya yang lain,
namun dia mempunyai perasaan yang paling halus dan terhormat di kalangan
orang-orang Quraisy.Abu Talib menyayangi Muhammad seperti dia menyayangi
anak-anaknya sendiri. Dia juga tertarik dengan budi pekerti Muhammad yang
mulia.
Pada suatu hari, ketika
mereka berkunjung ke Syam untuk berdagang sewaktu Muhammad berusia 12 tahun,
mereka bertemu dengan seorang rahib Kristian yang telah dapat melihat
tanda-tanda kenabian pada baginda. Lalu rahib tersebut menasihati Abu Talib
supaya tidak pergi jauh ke daerah Syam kerana dikhuatiri orang-orang Yahudi
akan menyakiti baginda sekiranya diketahui tanda-tanda tersebut. Abu Talib
mengikut nasihat rahib tersebut dan dia tidaak banyak membawa harta dari
perjalanan tersebut. Dia pulang segera ke Makkah dan mengasuh anak-anaknya yang
ramai. Muhammad juga telah menjadi sebahagian dari keluarganya. Baginda
mengikut mereka ke pekan-pekan yang berdekatan dan mendengar sajak-sajak oleh
penyair-penyair terkenal dan pidato-pidato oleh penduduk Yahudi yang anti Arab.
Baginda juga diberi tugas
sebagai pengembala kambing. Baginda mengembala kambing keluarganya dan kambing
penduduk Makkah. Baginda selalu berfikir dan merenung tentang kejadian alam
semasa menjalankan tugasnya. Oleh sebab itu baginda jauh dari segala pemikiran
manusia nafsu manusia duniawi. Baginda terhindar daripada perbuatan yang
sia-sia, sesuai dengan gelaran yang diberikan iaitu "Al-Amin".
Selepas baginda mula
meningkat dewasa, baginda disuruh oleh bapa saudaranya untuk membawa barang
dagangan Khadijah binti Khuwailid, seorang peniaga yang kaya dan dihormati.
Baginda melaksanakan tugasnya dengan penuh ikhlas dan jujur. Khadijah amat
tertarik dengan perwatakan mulia baginda dan keupayaan baginda sebagai seorang
pedagang. Lalu dia meluahkan rasa hatinya untuk berkahwin dengan Muhammad yang
berusia 25 tahun ketika itu. Wanita bangsawan yang berusia 40 tahun itu sangat
gembira apabila Muhammad menerima lamarannya lalu berlangsunglah perkahwinan
mereka berdua. Bermulalah lembaran baru dalam hidup Muhammad dan Khadijah
sebagai suami isteri.
Turunnya Wahyu Pertama
Pada usia 40 tahun, Muhammad
telah menerima wahyu yang pertama dan diangkat sebagai nabi sekelian alam.
Ketika itu, baginda berada di Gua Hira' dan sentiasa merenung dalam kesunyian,
memikirkan nasib umat manusia pada zaman itu. Maka datanglah Malaikat Jibril
menyapa dan menyuruhnya membaca ayat quran yang pertama diturunkan kepada
Muhammad.
"Bacalah dengan nama
Tuhanmu Yang menciptakan" (Al-'Alaq, 96: 1)
Rasulullah pulang dengan
penuh rasa gementar lalu diselimuti oleh Khadijah yang cuba menenangkan
baginda. Apabila semangat baginda mulai pulih, diceritakan kepada Khadijah
tentang kejadian yang telah berlaku.
Kemudian baginda mula
berdakwah secara sembunyi-sembunyi bermula dengan kaum kerabatnya untuk
mengelakkan kecaman yang hebat daripada penduduk Makkah yang menyembah berhala.
Khadijah isterinya adalah wanita pertama yang mempercayai kenabian baginda.
Manakala Ali bin Abi Talib adalah lelaki pertama yang beriman dengan ajaran
baginda.Dakwah yang sedemikian berlangsung selama tiga tahun di kalangan
keluarganya sahaja.
Dakwah Secara Terang-terangan
Setelah turunnya wahyu
memerintahkan baginda untuk berdakwah secara terang-terangan, maka Rasulullah
pun mula menyebarkan ajaran Islam secara lebih meluas.
"Maka sampaikanlah
olehmu secara terang-terangan segala apa yang diperintahkan (kepadamu) dan
berpalinglah dari orang-orang yang musyrik." (Al-Hijr, 15:94)
Namun begitu, penduduk
Quraisy menentang keras ajaran yang dibawa oleh baginda. Mereka memusuhi
baginda dan para pengikut baginda termasuk Abu Lahab, bapa saudara baginda
sendiri. Tidak pula bagi Abu Talib, dia selalu melindungi anak saudaranya itu
namun dia sangat risau akan keselamatan Rasulullah memandangkan tentangan yang
hebat dari kaum Quraisy itu. Lalu dia bertanya tentang rancangan Rasulullah
seterusnya. Lantas jawab Rasulullah yang bermaksud:
"Wahai bapa saudaraku,
andai matahari diletakkan diletakkan di tangan kiriku dan bulan di tangan
kananku, agar aku menghentikan seruan ini, aku tidak akan menghentikannya
sehingga agama Allah ini meluas ke segala penjuru atau aku binasa
kerananya"
Baginda menghadapi pelbagai
tekanan, dugaan, penderitaan, cemuhan dan ejekan daripada penduduk-penduduk
Makkah yang jahil dan keras hati untuk beriman dengan Allah. Bukan Rasulullah
sahaja yang menerima tentangan yang sedemikian, malah para sahabatnya juga
turut merasai penderitaan tersebut seperti Amar dan Bilal bin Rabah yang
menerima siksaan yang berat.
Wafatnya Khadijah dan Abu
Talib
Rasulullah amat sedih melihat
tingkahlaku manusia ketika itu terutama kaum Quraisy kerana baginda tahu akan
akibat yang akan diterima oleh mereka nanti. Kesedihan itu makin bertambah
apabila isteri kesayangannya wafat pada tahun sepuluh kenabiaannya. Isteri
bagindalah yang tidak pernah jemu membantu menyebarkan Islam dan mengorbankan
jiwa serta hartanya untuk Islam. Dia juga tidak jemu menghiburkan Rasulullah di
saat baginda dirundung kesedihan.
Pada tahun itu juga bapa
saudara baginda Abu Talib yang mengasuhnya sejak kecil juga meninggal dunia.
Maka bertambahlah kesedihan yang dirasai oleh Rasulullah kerana kehilangan
orang-orang yang amat disayangi oleh baginda.
Hijrah Ke Madinah
Tekanan orang-orang kafir
terhadap perjuangan Rasulullah semakin hebat selepas kepergian isteri dan bapa
saudara baginda. Maka Rasulullah mengambil keputusan untuk berhijrah ke Madinah
berikutan ancaman daripada kafir Quraisy untuk membunuh baginda.
Rasulullah disambut dengan
meriahnya oleh para penduduk Madinah. Mereka digelar kaum Muhajirin manakala
penduduk-penduduk Madinah dipanggil golongan Ansar. Seruan baginda diterima
baik oleh kebanyakan para penduduk Madinah dan sebuah negara Islam didirikan di
bawah pimpinan Rasulullas s.a.w sendiri.
Negara Islam Madinah
Negara Islam yang baru dibina
di Madinah mendapat tentangan daripada kaum Quraisy di Makkah dan gangguan dari
penduduk Yahudi serta kaum bukan Islam yang lain. Namun begitu, Nabi Muhammad
s.a.w berjaya juga menubuhkan sebuah negara Islam yang mengamalkan sepenuhnya
pentadbiran dan perundangan yang berlandaskan syariat Islam. Baginda dilantik
sebagai ketua agama, tentera dan negara. Semua rakyat mendapat hak yang
saksama. Piagam Madinah yang merupakan sebuah kanun atau perjanjian bertulis
telah dibentuk. Piagam ini mengandungi beberapa fasal yang melibatkan hubungan antara
semua rakyat termasuk kaum bukan Islam dan merangkumi aspek politik, sosial,
agama, ekonomi dan ketenteraan. Kandungan piagam adalah berdasarkan wahyu dan
dijadikan dasar undang-undang Madinah.
Islam adalah agama yang
mementingkan kedamaian. Namun begitu, aspek pertahanan amat penting bagi
melindungi agama, masyarakat dan negara. Rasulullah telah menyertai 27 kali
ekspedisi tentera untuk mempertahan dan menegakkan keadilan Islam. Peperangan
yang ditempuhi baginda ialah Perang Badar (623 M/2 H), Perang Uhud (624 M/3 H),
Perang Khandak (626 M/5 H) dan Perang Tabuk (630 M/9 H). Namun tidak semua
peperangan diakhiri dengan kemenangan.
Pada tahun 625 M/ 4 Hijrah,
Perjanjian Hudaibiyah telah dimeterai antara penduduk Islam Madinah dan kaum
Musyrikin Makkah. Maka dengan itu, negara Islam Madinah telah diiktiraf. Nabi
Muhammad s.a.w. juga telah berjaya membuka semula kota Makkah pada 630 M/9 H
bersama dengan 10 000 orang para pengikutnya.
Perang terakhir yang disertai
oleh Rasulullah ialah Perang Tabuk dan baginda dan pengikutnya berjaya mendapat
kemenangan. Pada tahun berikutnya, baginda telah menunaikan haji bersama-sama
dengan 100 000 orang pengikutnya. Baginda juga telah menyampaikan amanat
baginda yang terakhir pada tahun itu juga. Sabda baginda yang bermaksud:
"Wahai sekalian manusia,
ketahuilah bahawa Tuhan kamu Maha Esa dan kamu semua adalah daripada satu
keturunan iaitu keturunan Nabi Adam a.s. Semulia-mulia manusia di antara kamu
di sisi Allah s.w.t. ialah orang yang paling bertakwa. Aku telah tinggalkan
kepada kamu dua perkara dan kamu tidak akan sesat selama-lamanya selagi kamu
berpegang teguh dengan dua perkara itu, iaitu kitab al-Quran dan Sunnah
Rasulullah."
Wafatnya Nabi Muhammad s.a.w
Baginda telah wafat pada
bulan Jun tahun 632 M/12 Rabiul Awal tahun 11 Hijrah. Baginda wafat setelah
selesai melaksanakan tugasnya sebagai rasul dan pemimpin negara. Baginda
berjaya membawa manusia ke jalan yang benar dan menjadi seorang pemimpin yang
bertanggungjawab, berilmu dan berkebolehan. Rasulullah adalah contoh terbaik
bagi semua manusia sepanjang zaman.
(Http://pustakanew.blogspot.com)
No comments:
Post a Comment